Nuffnang
Sunday, October 18, 2015
Kekacang Kuning / Pintoi Peanut
Pengenalan
Pokok kekacang kuning atau nama saintifiknya "Arachis pintoi" merupakan sejenis pokok kekacang yang tumbuh menjalar di atas permukaan tanah. Ia dipercayai mendapat nama sempena G.C.P.Pinto yang menjumpainya pada bulan April 1954 di lembah Jequitinhonha, Sao Fransicso dan di sepanjang sungai Tocantins di Brazil. Nama lain baginya termasuklah Kacang kuning, Pinto / Pintoi peanut, Yellow peanut, Yellow glory, Kacang hias (Indonesia), Mani forrajero / Mani perenne (Sepanyol) dan Thua lisong tao (Thailand). Pintoi Peanut pada asalnya tumbuh liar di dalam hutan di Brazil.
Pintoi Peanut ni tergolong dalam kategori tanaman tutup bumi dan banyak digunakan sebagai tanaman lanskap. Mana2 tanaman tutup bumi boleh menggantikan penggunaan rumput. Malah, fungsi dan kelebihannya lebih baik dari rumput. Antara contoh tanaman tutup bumi yang lain ialah pokok bunga Ros Jepun, pokok tapak gajah, ect.
Ciri - ciri
Pintoi Peanut adalah salah satu pokok herba yang tumbuh rendah. Batangnya menjalar sepanjang 50 - 60 cm, akar dan sulur / stolon akan tumbuh dari buku ruas batangnya bila tersentuh tanah. Tinggi pokok bergantung kepada keadaan setempat. Daunnya tumbuh berpasangan, berbentuk oval dengan ukuran 1.5 - 3.5 cm lebar dan 3 - 4.5 cm panjang.
Pokok ini akan mengeluarkan bunga kecil berbentuk seperti Love, berwarna kuning terang dan sentiasa berbunga sepanjang tahun. Setiap bunga mempunyai 1 - 2 biji benih yang boleh disemai untuk pembiakan. Ia tumbuh dengan baik dalam cuaca tropika dan sub-tropika dan boleh bertahan 3 - 4 bulan dalam keadaan tanah yang kering, tetapi daunnya akan gugur dengan banyak. Jika tanah kurang air atau selalu banjir, pertumbuhannya terbantut dan daun menjadi kuning.
Di Malaysia, keadaan tanah yang sesuai untuk menanam Pintoi Peanut adalah tanah tanaman biasa atau berpasir dengan kandungan bahan organik >3%, Ia juga boleh berkembang baik dengan tanah yang kurang subur, PH lebih berasid atau yang mempunyai kadar aluminium yang tinggi (>70%).
Pembiakan
Ada 3 cara membiakkan Pintoi Peanut ni iaitu menggunakan biji benih, keratan batang dan keratan sulur / stolon. Untuk menutup keseluruhan tanah yang terbuka / terdedah, mungkin memerlukan 2 - 5 bulan, bergantung kepada keadaan kelembapan tanah dan jarak tanam setiap satu.
1. Biji benih
Ianya cara yang cepat dan mudah tetapi biji benihnya mahal dan sukar didapati di nurseri2. Cara tanam adalah tanamkan biji benih yang masih ada kulit arinya sedalam 2 cm ke dalam tanah. Biji akan mulai bercambah dalam masa 10 - 14 hari.
2. Keratan batang
Cara yang biasa digunakan. Batang dengan panjang 10 - 20 cm dipotong dan dicucukkan sedalam 7.5 - 12.5 cm ke dalam tanah. Jarak penanaman antara 25 - 70 cm setiap satu. Keratan batang perlu cepat ditanam untuk mengelakkan batang kering. Akar akan mulai tumbuh dalam masa 2 - 4 minggu.
3. Keratan sulur / stolon
Juga cara pembiakan yang sering digunakan. Keratan sulur / stolon adalah keratan kecil muda yang lengkap ada akar. Sulur adalah cabangan dari batang yang masuk dalam tanah dan mengeluarkan akar dari buku ruasnya. Sama seperti keratan batang, keratan stolon ini perlu ditanam segera untuk mengelakkan batangnya kering. Cucuk sedalam 2.5 cm ke dalam tanah dengan jarak tanam 25 - 50 cm.
Penjagaan
Selepas ditanam, tanah yang tahap kesuburannya rendah perlu diletakkan baja hingga pertumbuhannya stabil. Siram sekali sehari samada pada waktu pagi atau petang tetapi tidak boleh terlalu basah. Pemangkasan pula berkala untuk mendapatkan pertumbuhan yang cantik dan seragam. Ia dilakukan pada ketinggian 10 - 15 cm setiap 8 - 10 minggu. Pokok Pintoi Peanut yang matang boleh dipotong menggunakan pemotong rumput biasa. Batang dan akarnya yang stabil mampu menahan kesan pijakan juga.
Haiwan perosak Kekacang Kuning ni biasanya jenis siput yang aktif merosakkan pokok pada waktu malam. Pesticide organik atau bukan organik yang sesuai boleh digunakan. Tumbuhan atau rumput lain yang tumbuh di sekitarnya perlu dibuang untuk mengelakkan ketidakseimbangan nutrien.
Kelebihan
1. Elak hakisan
Pokok Kekacang Kuning ni adalah salah satu pokok tutup bumi. Akarnya yang tumbuh serabut dan banyak, mudah memegang tanah samada di tanah rata atau lereng bukit. Daunnya yang rimbun dan tumbuh lebat, boleh menghalang air hujan dari terus sampai kepada tanah dan seterusnya mengelakkan hakisan.
2. Tingkat kesuburan tanah
Pokok ini mampu mengikat unsur Nitrogen di udara sebanyak 42 - 47% dan unsur Karbon sebanyak 9 - 14%. Sebagai pertukaran, daunya yang hijau, banyak mengeluarkan Oksigen untuk kesegaran udara di sekitarnya.
3. Makanan tambahan haiwan ternakan
Daun Pintoi Peanut ni tinggi protein dan baik untuk pencernaan. Sifatnya yang mudah dibiakkan dan senang dijaga boleh menjimatkan kos petani dari membeli makanan lain. Haiwan ternakan tu termasuklah kuda, lembu, kambing, keldai, ayam, babi dan sebagainya.
Reference
1. Kacang Hias, Arachis Pintoi (kacangan)
- http://sinoxnursery.blogspot.my/2011/11/kacang-hias-arachis-pintoi-kacangan.html
2. Kekacang Pintoi
- http://animhosnan.blogspot.my/2012/10/kekacang-pintoi.html
3. Pinto Peanut-
http://kebunbahagiabersama.blogspot.my/2013/10/pinto-peanut.html
Categories:
Agriculture,
Info
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment